SUNGAI PETANI - Berbekalkan semangat dan keazaman, dua beradik orang
kurang upaya (OKU)
bukan sahaja menjadi kebanggaan ibu bapa malah
dihormati masyarakat kerana mereka mengajar al-Quran, kelas tajwid dan
fardu ain kepada kanak-kanak serta orang dewasa.
Mohd Arsyad Mohd Yusof, 27, menggunakan bantuan kerusi roda dan
adiknya, Mohd Azfar, 26, terlantar sepenuh masa akibat gangguan saraf
sejak kecil kini dikenali sebagai ustaz dalam kalangan penduduk
tempatan.
Walaupun terlantar dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan ibu bapa
untuk menguruskan diri, Mohd Azfar membuktikan kepada seluruh dunia
bahawa cacat fizikal bukan penghalang untuk berjaya.
Malah kekuatan semangat yang dimiliki dua beradik ini boleh dikatakan
mengatasi individu yang dilahirkan sempurna yang cukup sifat.
Menceritakan kehidupan yang dilalui sejak kecil, Mohd Arsyad berkata,
dia mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Petani sebelum
meneruskan pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari
sehingga tamat tingkatan lima.
Bagaimanapun, adiknya hanya belajar di peringkat rendah sahaja
memandangkan pergerakan terbatas yang memerlukan ibu bapanya mendukung
setiap kali ke sekolah.
Menurut Mohd Azfar yang merupakan anak bongsu dari tiga beradik ini,
dia mula serius mengajar mengaji al-Quran sejak 2005 bersama Mohd Arsyad
selepas mengambil alih tugas itu dari abang sulung mereka, Mohd Asyraf,
29.
“Sejak itu, kami menerima kanak-kanak dan orang dewasa yang datang untuk belajar al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian.
Belajar guna alat bantuan
Mohd Azfar berkata, bagi memantapkan ilmu yang dimiliki, dia sentiasa belajar dengan ustaz lain yang lebih berpengalaman.
Bagi memudahkan pembelajaran, Mohd Azfar menggunakan bantuan alat LCD
yang signalnya boleh dipantau melalui telefon bimbit miliknya.
Alat bantuan mengajar serta keperluan lain dibeli melalui wang
pemberian yang diperolehnya dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
serta orang ramai.
“Setakat ini dengan kelebihan yang diberikan ALLAH SWT, saya kongsi bersama umat Islam lain.
“Ini membuktikan tugas sebagai khalifah ALLAH di muka bumi ini dapat
dilakukan walaupun terdapat kekurangan demi menyebarkan syiar Islam
sepertimana yang dituntut,” katanya.
Selain itu, Mohd Arsyad berkata, pada mulanya, mereka hanya mengajar
beberapa orang murid sahaja tetapi bilangan terbabit bertambah sedikit
demi sedikit sehingga kini mempunyai 40 orang kesemuanya.
Pengorbanan keluarga berbaloi lihat kejayaan anak
Ibu mereka, Naimah Mohd Saad, 57, berkata, melihat kejayaan anak-anak
OKU merupakan hadiah yang cukup bernilai buat dirinya dan suami, Mohd
Yusof Salim, 58.
“Pengorbanan yang selama ini dipikul akhirnya berbaloi apabila kesemua
tiga anak lelaki termasuk dua OKU menjadi ustaz,” katanya.
Menurutnya, anak sulung, Mohd Asyraf kini menjadi Pegawai Agama Polis
Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda
manakala dua anak OKU mengajar di rumah.
“Sudah semestinya sejak kecil memerlukan pengorbanan kerana perlu
memastikan kegiatan harian mereka lancar walaupun saya bekerja sebagai
jururawat hospital manakala suami sebagai anggota tentera,” katanya.
Naimah berkata, walaupun sibuk bekerja, dia akan pulang pada waktu
makan tengah hari bagi memastikan keperluan anak-anak tidak terabai.
“Namun sejak suami bersara lebih 17 tahun lalu, beliau yang banyak membantu menguruskan anak-anak kami,” katanya.
Katanya, segala-galanya berubah semasa dia dan suami pulang dari Makkah
pada 2001 dan kedua-dua anak OKU ditinggalkan dalam penjagaan saudara.
“Selepas pulang, perubahan sangat ketara apabila setiap hari rumah kami
sentiasa kedengaran ayat suci al-Quran dan berlarutan sehingga kini,”
katanya.
Sementara itu Mohd Yusof berkata, dia reda dengan pemberian ALLAH
terhadap keluarga itu yang akhirnya membawa anugerah terindah dalam
keluarga.
Dalam perkembangan sama, Ketua Cawangan Persatuan Bekas Tentera
Malaysia (PBTM) Merbok, Mejar (B) Wan Norshahid Zainol berkata, pihaknya
akan cuba mendapatkan bantuan peralatan sebagai kemudahan mengajar buat
kedua-dua OKU terbabit.
Dua beradik ustaz OKU
Written By Warta Utara on Sunday, May 4, 2014 | 7:40 PM
Related articles
Labels:
Kedah
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !