Oleh Uthaya Sankar SB
“My selfie with President Obama!” Demikian catatan pada foto yang
dipaparkan dengan penuh
bangga oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri
Najib Razak menerusi Facebook pada 27 April 2014 selepas berpeluang
bertemu Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
Sebagai seorang pengamal media dan perunding media, saya hanya mampu
menepuk dahi memikirkan kejahilan dan kebodohan Najib terhadap istilah
sebenar perkataan tersebut.
Foto yang dipaparkan bukanlah “selfie” tetapi “usie”.
Mungkin Najib tidak berpeluang mendengar penerangan lengkap yang
diberikan Arlene Tan, Gouri Krishnan dan Tan Kim menerusi slot “Asean
Breakfast Call” (Durian Asean, 14 April 2014).
Mungkin tidak ada sesiapa yang membisikkan ke telinga Najib bahawa
“selfie” (atau lebih popular sebagai #selfie) melibatkan satu orang
sahaja.
Sekiranya foto yang dirakam itu menampilkan lebih daripada seorang –
kecuali Najib dan Obama adalah satu orang – maka istilah yang betul
adalah “usie” (atau #usie).
Beberapa fakta yang disajikan secara mudah menerusi makalah ini
bertujuan berkongsi maklumat bersama-sama orang ramai supaya kita tidak
terus jahil, khilaf dan mengulangi “kebodohan” yang dipamerkan oleh
pemimpin.
Berkenaan usie Najib bersama Obama, timbul pula persoalan apakah tidak
ada seorang pun manusia yang berada di tempat itu pada masa berkenaan
untuk tolong ambilkan foto mesra mereka berdua.
Saya mengandaikan bahawa usie itu dirakam di tempat terbuka dan
bukannya semasa Najib dan Obama berdua-duaan di tempat terselindung atau
peribadi seperti bilik air dan tandas.
Mungkin juga Najib begitu ingin mengikut gaya semasa (trend) merakamkan
selfie/usie sehingga tidak sanggup merelakan orang lain (termasuk
isteri tercinta, wanita anggun Datin Seri Rosmah Mansor) mengambil foto
menggunakan telefon pintarnya.
Untuk makluman bersama, sekiranya foto diambil orang lain – walaupun
menggunakan telefon kita – maka ia tidak lagi memenuhi kriteria selfie
atau usie.
Begitulah juga jika kita menggunakan kemudahan pemasa (timer) pada
telefon pintar dan meletakkan alat itu di atas meja (atau apa-apa
permukaan) untuk merakam foto. Ia menjadi foto biasa dan tidak lagi
layak ditandakan (hashtag) sebagai #selfie dan #usie.
Amalan selfie bukan sesuatu yang baru muncul
Istilah usie mungkin masih baru dalam kalangan kita. Istilah selfie
pula mula digunakan dalam kalangan orang yang berbual di ruangan forum
dalam talian (online) di Australia pada tahun 2002.
Seperti kebanyakan istilah baru, istilah selfie juga diwujudkan secara
tidak sedar oleh salah seorang individu yang berbual di ruangan forum
itu.
Umum mengetahui bahawa istilah selfie menjadi amat popular pada tahun 2013 sehingga digelarkan sebagai “Tahun Selfie”.
Seperti dibincangkan menerusi Durian Asean (14 April 2014), kini
seolah-olah semua orang – termasuk politikus, pelakon, penyanyi dan
peminta sedekah – tidak mahu terlepas daripada merakamkan foto peribadi
berupa selfie.
Namun begitu, eloklah diketahui bahawa selfie bukanlah sesuatu yang baru; walaupun istilah selfie hanya wujud sejak tahun 2002.
Pada tahun 1839, seorang individu bernama Robert Cornelius dilaporkan
menggunakan sebuah kamera antik untuk merakamkan foto sendiri.
Dia meletakkan kamera di atas meja dan membuka bahagian depan yang
membolehkan cahaya masuk bagi merakam imej (foto) pada filem.
Tentu sahaja Robert menggunakan kamera jenis lama yang mengambil masa pendedahan selama beberapa minit untuk merakam satu foto.
Lelaki itu segera bergerak dan duduk di hadapan kamera. Beberapa minit kemudian, foto dirinya sudah dirakam.
Bagaimanapun, secara teknikal, ia bukan selfie kerana Robert tidak
memegang sendiri kamera itu; sebaliknya seolah-olah menggunakan pemasa.
Pada tahun 1914 pula, seorang remaja wanita berumur 13 tahun di Rusia
berdiri sambil memegang sebuah kamera (jenis lama juga) di hadapan
cermin.
Dia merakamkan foto diri seperti yang biasa dilakukan orang ramai di hadapan cermin tandas awam sekarang.
Maka, terhasillah selfie pertama yang diketahui – walaupun istilah
selfie belum wujud. Dengan perkembangan teknologi kamera dan telefon
pintar, rakaman selfie dan usie sudah menjadi sesuatu yang terlalu biasa
pada masa kini.
Sekiranya diteliti, kegemaran remaja merakam selfie agak popular
sekitar tahun 2005 dengan adanya laman rangkaian sosial MySpace yang
membuka ruang dan peluang berkongsi foto peribadi.
Kebanyakan foto ini bersifat peribadi dan dirakam sendiri – selfie – untuk dimuat naik ke laman MySpace.
Bagaimanapun, apabila Facebook mula popular sekitar tahun 2007, ramai pengguna MySpace beralih ke laman rangkaian sosial itu.
Pengguna juga mula meninggalkan selfie kerana foto-foto itu bersifat kurang profesional.
Mereka mula memaparkan foto-foto diri yang lebih profesional; sama ada
diambil di studio atau diambil oleh orang lain menggunakan kamera dan
telefon pintar.
Kalau Najib atau pengikutnya sedang membaca makalah ini, mungkin mereka
tertanya-tanya di mana saya mendapat segala maklumat ini. Jawapannya
mudah sahaja: membaca.
Persamaan psikologi antara politikus dan remaja
Berbalik
kepada Facebook, lama-kelamaan, pengguna laman rangkaian sosial itu
mula kembali berminat merakam dan memuatkan foto diri yang kurang
profesional.
Maknanya, merakamkan selfie untuk dipaparkan kepada dunia dan rakan-rakan.
Pakar psikologi dan peribadi remaja (di luar Malaysia, tentunya) sedang
terus mengkaji amalan selfie dari sudut psikologi dan sains perubatan.
Apatah lagi apabila selfie sudah menjadi semacam kegilaan dalam kalangan remaja – dan politikus.
Mengapa politikus gemar akan selfie? Hakikat yang tidak dapat dinafikan
adalah bahawa politikus – termasuk di Malaysia – sentiasa mahukan
dirinya menjadi fokus utama.
Mungkin politikus akan menafikannya, tetapi pada setiap kali membaca
akhbar – atau menonton televisyen – mereka akan mencari-cari apakah ada
berita dan foto mereka.
Bagi golongan remaja pula, mereka juga seperti politikus. Mereka mahukan perhatian daripada dunia.
Mereka mahukan supaya mereka penjadi pusat tumpuan dunia – seolah-olah Bumi harus berputar dengan berpaksi kepada mereka.
Apabila saya menyebut “remaja” tadi tidak pula bermakna golongan dewasa tidak memiliki “penyakit” itu.
Cuba layari Facebook dan lihat sendiri berapa ramai orang dewasa yang turut menjadi mangsa kegilaan selfie.
Sedar atau tidak sedar – ataupun mahu dinafikan sekeras-kerasnya – mereka semua mahukan perhatian.
Makalah ini tidak bertujuan menidakkan hak merakam selfie atau
mengatakan selfie itu salah. (Kita serahkan “tugas murni” itu kepada
Jakim, ISMA, Perkasa dan Ridhuan Tee.) Tambahan pula, saya juga
kadang-kadang merakam selfie.
Sebaliknya, sekadar untuk menasihatkan Najib supaya tahu membezakan
antara #selfie dan #usie apabila memuat naik fotonya ke Facebook pada
masa hadapan.
Juga untuk menasihatkan rakan-rakan (dan pembaca makalah ini) supaya
tidak terus-menerus memperli dan mentertawakan Najib atas perbuatan
merakam usie bersama-sama Obama.
Ketahuilah bahawa sesungguhnya Najib sekadar membuktikan kepada dunia
(dan rakyat Malaysia) bahawa dia sudah memenuhi kriteria “penyakit
selfie” seperti yang sudah dikaji dan dibuktikan pakar psikologi
antarabangsa (bukan Malaysia).
penyakit selfie”
ReplyDelete